NOTA BERDASARKAN PROFORMA
TOPIK 6 : FRASA KERJA BAHASA MELAYU
KERANGKA TAJUK
A) Frasa Kerja Dengan Kata Bantu Aspek
Menurut Siti Hajar Abdul Aziz. (2008)
Frasa kerja terdiri daripada kata kerja sebagai unsur intinya. Frasa kerja
bertugas sebagai predikat dalam susunan ayat biasa. Dalam hal ini, frasa kerja
yang melibatkan kata bantu aspek merupakan keperihalan tentang aspek masa
lampau, ini atau masa hadapan. Hal yang demikian bersesuaian dengan fungsi kata
bantu aspek.
Bagi menjelaskan fungsi kata bantu
dalam frasa, diberikan contoh ayat berkaitan.
Contoh (fungsi menunjukkan masa yang
telah berlaku: sudah , telah ,pernah)
- Amirul sudah mencapai kejayaan dalam peperiksaan yang lepas.
- Dia telah menulis puisi sejak di bangku sekolah.
- Michael pernah mendapat pengiktirafan sebagai guru cemerlang.
Contoh (fungsi menunjukkan perbuatan
yang belum dilakukan: akan dan belum)
- Wan Malini akan memetik bunga di taman.
- Adi Kencana belum lagi berminat untuk merantau ke kota.
Frasa Kerja Dengan Ayat Komplemen
Frasa kerja dengan ayat komplemen
merupakan jenis frasa yang boleh menerima pelengkap atau sebaliknya yang
dipancangkan ke dalam klausa utama bagi binaan sesuatu ayat. Menurut Nik Safiah
Karim et.al (2008), frasa kerja sama ada jenis transitif atau tak transitif,
boleh menerima ayat komplemen.
Dalam binaan predikat, frasa kerja
jenis ini ditandai dengan penggunaan kata kata hubung bahawa, demi, supaya,
semoga dan untuk. Apabila keadaan sedemikian berlaku, maka ayat yang
terbentuk ialah ayat majmuk
Contoh :
(i) Frasa kerja transitif dengan ayat
komplemen
- Cikgu Normah menegaskan bahawa tidur yang berkualiti adalah perlu untuk kesihatan minda.
- Pak Mat mengakui bahawa dia pernah berkhidmat dalam pasukan komando.
- Pemandu bas itu memaklumkan bahawa semua penumpang selamat sampai ke destinasi.
Berdasarkan contoh ayat di atas, ayat
tersebut menunjukkan kata kerja tidur, terjatuh dan bergaduh. Kata kerja
tersebut menerima ayat komplemen yang akhirnya membentuk ayat majmuk.
(ii) Frasa kerja tak transitif dengan
ayat komplemen
- Haji Amin percaya bahawa mangsa kebakaran itu boleh diselamatkan.
- Kim Seng faham bahawa jirannya terpaksa berpindah ke kampung.
- Jasmin berpendapat bahawa kerjaya guru sangat mencabar.
Dalam ayat di atas, frasa kerja tak
transitif telah menerima ayat komplemen. Biarpun begitu, ayat ini masih
mengekalkan konsep kata kerja tak transitif dan akhirnya membentuk ayat majmuk.
Unsur Keterangan dalam Frasa Kerja
Unsur keterangan dalam frasa kerja
diwakili oleh unsur-unsur penerang yang memerihalkan atau menerangkan kata
kerja tersebut dengan lebih lanjut. Unsur –unsur biasanya hadir selepas kata
kerja.
Bagi kata kerja transitif, unsur
keterangan hadir selepas objek (penyambut). Unsur-unsur keterangan boleh
terdiri daripada binaan frasa sendi nama, frasa adjektif, dan frasa nama. Yang
pasti, unsur keterangan ini dapat memberikan gambaran yang lebih jelas tentang
maksud dan sasaran makna dalam sesuatu frasa yang menjadi struktur binaan dalam
satu-satu frasa.
Berdasarkan aspek makna yang hadir
dalam frasa kerja, unsur keterangan dapat dibahagikan kepada lapan jenis:
(i) Keterangan tempat atau arah
(ii) Keterangan waktu
(iii) Keterangan cara
(iv) Keterangan tujuan atau harapan
(v) Keterangan alat
(vi) Keterangan penyertaan
(vii) Keterangan hal
(viii) Keterangan bagai
Huraian:
(i) Keterangan tempat atau arah
- Unsur keterangan tempat atau arah membincangkan tempat berlakunya peristiwa. Penggunaan kata sendi nama di,ke,dari,daripada,kepada ,pada jelas terdapat dalam unsur keterangan ini.
Contoh:
·
Dia
belajar di universiti.
·
Abang
Malik memanjat ke atas bumbung rumah.
·
Swee
Ling berasal dari Negeri Sembilan.
·
Emak
Shafik menerima hadiah cenderamata daripada guru besar.
(ii) Keterangan waktu
Dua bentuk keterangan waktu wujud
dalam frasa kerja iaitu :- bentuk frasa sendi nama yang mengandungi kata sendi nama iaitu pada, dalam , sejak dan hingga
- bentuk frasa nama seperti semalam, tahun lepas,
Contoh :
- Pensyarah itu menamatkan kuliah pada jam 9 malam.
- Pameran kesenian itu bermula sejak semalam.
- Aiman menunggu kepulangan ayahnya hingga pukul 12 malam.
(iii) Keterangan cara
- Keterangan cara boleh bersumberkan daripada kata adjektif.
- Keterangan cara boleh terbina daripada frasa sendi nama yang mengandungi kata sendi nama dengan diikuti kata adjektif yang menerima kata pembenda –nya.
Contoh :
- Air sungai mengalir deras.
(a) Air sungai mengalir dengan
derasnya.
- Azman berlari pantas.
(a) Azman berlari dengan pantasnya.
- Menteri berjalan megah.
(a) Menteri berjalan dengan megahnya.
(iv) Keterangan tujuan atau harapan
- Keterangan tujuan atau harapan ialah unsur yang menerangkan sesuatu perbuatan atau kejadian.
- Keterangan tujuan menggunakan kata sendi nama : demi, untuk dan bagi.
Contoh :
- Muhamad belajar bersungguh-sungguh demi masa depan.
- Mereka berkahwin untuk mencapai kebahagiaan hidup.
- Penghulu berucap di perhimpunan itu bagi menjelaskan isu sebenar.
(v) Keterangan alat
- Unsur yang menerangkan peralatan, perkakas atau benda yang digunakan dalam sesuatu proses atau peristiwa. Kata sendi nama yang digunakan ialah dengan.
Contoh:
- Guru pelatih itu datang dengan menaiki kereta api
- Encik Ahmad memotong kek dengan pisau.
- Harjit Singh memukul bola dengan kayu hoki.
(vi) Keterangan penyertaan
- Unsur yang menerangkan maksud ikut serta, ikut bersama-sama atau melibatkan diri.
- Kata sendi nama yang digunakan ialah dengan.
Contoh:
- Aminah datang ke masjid dengan suaminya.
- Pegawai kebajikan melawat kampung contoh dengan ahli jawatankuasa surau.
- Muniandy masuk ke pejabat dengan pembantunya.
(vii) Keterangan hal
- keterangan hal berfungsi menerangkan keadaan
- kata sendi nama yang digunakan ialah tentang, mengenai, terhadap.
Contoh:
- Tuan pengurus sedang memikirkan tentang masalah itu.
- Panel disiplin membuat teguran terhadap kes itu.
- Jurutera perunding membuat penilaian semula tentang projek tersebut.
(viii) Keterangan bagai
- Unsur yang menerangkan keserupaan,kesamaan atau hampir sama.
- Kata sendi nama yang digunakan ialah seperti, bagai, sebagai, bak.
Contoh :
- Amran berlagak seperti pegawai tinggi .
- Kepantasan lelaki itu bertindak bagai lipas kudung .
- Diana berlakon sebagai Puteri Gunung Ledang.
- Hidungnya mancung bak seludang.
No comments:
Post a Comment