Thursday, February 13, 2014

NOTA BERDASARKAN PROFORMA
TOPIK 10 : Ayat Bahasa Melayu

KERANGKA TAJUK


1) AYAT, KLAUSA, FRASA DAN PERKATAAN

a) Ayat
Ayat boleh terbentuk daripada satu perkataan atau susunan beberapa perkataan yang pengucapannya dimulakan dan diakhiri dengan kesenyapan, serta mengandungi intonasi yang sempurna. (Nik Safiah Karim et.al. 2008).

Menurut Abdullah Hassan et.al (2006), ayat terdiri daripada perkataaan-perkataan yang disusun dalam susunan dan kelompok-kelompok tertentu. Setiap kelompok perkataan disusun dengan lengkap. Susunan yang lengkap mempunyai makna yang lengkap. Setiap satu kelompok tersebut mengandungi sekurang-kurangnya dua bahagian iaitu subjek dan predikat. Subjek menyebut sesuatu perkara, seperti rumah, baju, kereta dan seumpamanya. Predikat pula menerangkan tentang perkara yang telah disebutkan dalam predikat iaitu menerangkan tentang rumah, baju, kereta dan seumpamanya.

Contoh :
(1). Sekolah di tepi laut.
Dalam ayat (1) sekolah terdiri daripada kelompok perkataan yang menjadi pokok perbincangan. Malah sebenarnya, sekolah ialah komponen subjek ayat. Dalam kumpulan perkataan kedua, di tepi laut,menceritakan tentang subjek ayat. Maksud ayat tersebut ialah hal sebuah sekolah yang terletak di tepi laut.

(2) Rumah langsir biru.
Dalam ayat (2) rumah ialah kelompok perkataan yang menjadi subjek dalam ayat tersebut. Sementara, langsir biru yang tergolong dalam kelompok kedua ialah predikat bagi ayat tersebut yang menerangkan tentang keadaan rumah besar tersebut. 

b) Klausa
Klausa ialah satu rangkaian perkataaan yang mengandungi subjek dan predikat , yang menjadi konstituen dalam ayat. (Nik Safiah Karim et.al. 2008) Klausa tergolong kepada dua jenis iaitu:
(i) Klausa bebas
(ii) Klausa tak bebas

Klausa bebas ialah klausa yang terdiri daripada sekumpulan perkataan yang maknanya boleh berdiri sendiri dan boleh bersifat sebagai ayat lengkap apabila diujarkan dengan intonasi yang sempurna. Klausa boleh diumpamakan ayat dalam ayat (Abdullah Hassan et.al 2006).
Contoh :
klausa 1 : Majid kaya (klausa bebas)
klausa 2 : kerana cekap menguruskan perniagaan (klausa tak bebas)

Ayat sempurna:
klausa 1 + klausa 2 = Majid kaya kerana cekap menguruskan perniagaan.
Klausa bebas juga disebut sebagai klausa utama.

Berdasarkan contoh :
Majid kaya kerana cekap menguruskan perniagaan.
[klausa bebas] [ klausa tak bebas]
[klausa utama]

Oleh itu, pembentukan klausa bebas adalah berdasarkan ciri klausa yang mampu mendokong makna lengkap serta mendokong ciri –ciri ayat yang sempurna.  

c) Frasa
Frasa ialah unit yang boleh terdiri daripada satu susunan yang mengandungi sekurang-kurangnya dua perkataan, ataupun satu perkataan yang berpotensi untuk diperluas menjadi dua perkataan atau lebih. (Nik Safiah karim, et.al 2008) Frasa nama boleh terbentuk daripada satu perkataan atau lebih (Abdullah Hassan et.al, (2006). Frasa ialah unsur terkecil dalam bidang sintaksis. Frasa digunakan bagi membina ayat. Dalam struktur binaan ayat, frasa didapati merupakan unsur yang terletak di bawah klausa.
Contoh ayat : sehelai baju kurung di dalam almari. Ayat ini akan dipenggal sebahagiannya untuk melihat rumus struktur frasa.  

Frasa di atas berasaskan satu binaan ayat (FN+FS) :Sehelai baju kurung di dalam almari. Bentuk frasa satu perkataan ialah baju. Bentuk tersebut diperluas menjadi sehelai baju, baju kurung, sehelai baju kurung, dan sebagainya. Jadi, frasa yang asas iaitu baju kurung telah diperluaskan melalui pancangan ke dalam sebuah frasa yang lain hingga terbentuknya frasa sehelai baju kurung.


d) Perkataan
Perkataan ialah konstituen kepada frasa. Perkataan adalah bentuk bahasa yang mengandungi makna atau fungsi nahu (Abdullah Hassan et.al , 2008). Bentuk-bentuk perkataan seperti sekolah, baju, orang, kereta adalah perkataan yang mendokong makna tertentu. Perkataan mempunyai beberapa golongan tertentu seperti kata nama, kata kerja, kata adjektif, kata sendi nama, kata hubung, kata tugas dan sebagainya.

Contoh:
kata nama: pelajar, ayah, Seremban, taman
kata kerja : makan, tidur, melukis, menendang
Kata adjektif : kurus, pucat, gempal, tampan
kata sendi nama : di rumah, ke kedai, dari Johor, daripada besi 



2) Ayat Dasar
Ayat dasar ialah ayat yang menjadi sumber atau dasar bagi pembentukan ayat-ayat lain berdasarkan rumus-rumus tatabahasa.
Semua ayat yang terbina secara lengkap sebenarnya dapat dikesan dasar atau inti ayat yang menjadi landasan dalam sesuatu binaan ayat.
Ayat dasar mempunyai empat pola asas iaitu:
Pola 1 : FN + FN
Pola 2 : FN + FK
Pola 3 : FN + FA
Pola 4 : FN + FS 

Komponen frasa boleh mengandungi satu perkataan atau lebih. Namun, binaan-binaan tersebut harus masih tergolong dalam bentuk frasa.
Contoh: 

3) Ayat Tunggal
Ayat tunggal ialah ayat yang mempunyai satu subjek dan satu predikat. Ayat tunggal juga sebenarnya mempunyai satu klausa yang hadir mewakili satu subjek dan satu predikat tersebut. Ayat tunggal terbina daripada ayat dasar. Malah binaan ayat tunggal mempunyai persamaan dengan ayat dasar. Namun, yang membezakan ayat tunggal dengan ayat dasar ialah ayat tunggal terdiri daripada ayat tanya, ayat perintah ayat seruan dan sebagainya. Sementara, ayat dasar terdiri daripada ayat penyata. Jelas bahawa ayat tunggal terbina secara mudah dengan hanya mempunyai konstituen satu subjek dan satu predikat.
Contoh


Dalam proses binaan ayat tunggal ini , terdapat juga proses penyongsangan seperti predikat mendahului subjek seperti dalam ayat songsang.
Contoh:

(a) Mariam ke pasar raya hari ini.
(b) Ke pasar raya Mariam hari ini.

(a) Baju itu di dalam almari.
(b) Di dalam almari baju itu.

(a) Kuih itu dimakannya.
(b) Dimakannya kuih itu.

(a) Pokok kayu itu ditebangnya.
(b) Ditebangnya pokok kayu itu.

Berdasarkan contoh-contoh ayat tersebut, jelas didapati bahawa subjek dan predikat dalam ayat dasar boleh bertukar ganti mengikut keperluan dan keutamaan penutur bahasa. Jelas, proses sedemikian menggambarkan sifat bahasa Melayu yang dinamik dalam pelbagai aspek bahasa dan rumus tatabahasa. 

RUJUKAN UTAMA 

  • Abdullah Hassan (2005) Linguistik Am. Pahang:PTS Professional Publishing Sdn.Bhd. 
  • Abdullah Hassan et.al (2006) Sintaksis. Kuala Lumpur. PTS Professional Publishing               Sdn.Bhd. 
  • Nik Safiah Karim et.al (2008) Tatabahasa Dewan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan           Pustaka.
  • Siti Hajar Abdul Aziz (2008). Bahasa Melayu II. Petaling Jaya: Oxford Fajar Sdn.Bhd. 


No comments:

Post a Comment